Rabu, 22 Jun 2011

Corak & Pola Geomatri Islam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Corak & Geometri Islam

Motif geometri merupakan suatu yang popular di kalangan pengkarya dan pereka Islam di seluruh dunia untuk menghiasi hampir pelbagai jenis permukaan sama ada dinding, lantai, pasu, lampu, kulit buku serta tekstil. Apabila Islam disebarkan dari satu kawasan ke kawasan lain, pengkarya Islam menggabungkan unsure geometri ke dalam corak tradisi lalu mewujudkan seni Islam yang segar dan baru. Seni ini meluahkan unsur logik dan aturan yang dianjurkan oleh Islam dalam visinya terhadap alam semesta.

Kepelbagaian ilmu pengetahuan umat Islam membolahkan para ilmuwan Islam menerima ilmu falsafah dan matematik daripada Yunani dengan cepat lalu menterjemahkan serta menyebarkannya kepada generasi seterusnya. Tulisan Euclid dan Pythagoras adalah antara yang pertama sekali diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Pengajian ilmu geometri juga memberi satu semangat terhadap ilmu falak. Kesemua ini hanya memyemarakkan keghairahan bangsa Arab untuk mencipta corak hiasan yang tidak terhingga atau infiniti.Pengembangan ilmu analisa matematik, sebagai contoh, mewujudkan kesan pengharmonian. Didorong oleh semangat agama untuk abstraksi dan doktrin yang berkaitan dengan kesatuan - al-tawhid, para intelektual Muslim mengakui bahawa geometri menyatukan perantaraan diantara dunia kebendaan serta rohaniah.

Perkembangan seni  baru ini, sebahagiannya mungkin sekali berpunca daripada larangan kepada gambar atau lukisan yang mungkin membawa kepada penyembahan berhala. Ini kerana umat Islam melihat kepada prinsip utama Islam bahawa “Tiada Tuhan melainkan Allah.” Ini kerana Allah di dalam seni figuratif, merupakan suatu kesalahan paling besar atau suatu ilusi yang menunjukkan sifat mutlak ke dalam relatif, dengan menghubng ke relatif autonomi yang bukan miliknya. Oleh kerana itu, pengkarya Islam tidak mengekspresikan diri sedemikian, tetapi bertujuan untuk memuliakan suatu hal benda itu. Walaupun tradisi ini mengecewakan sebahagian kecil pengkarya Islam, tetapi terdapat beberapa pengkarya yang menerima perkara ini sebagai suatu cabaran dan menjadi pembuat corak yang terhebat pada waktunya. Daripada menghiasi bangunan  dan suatu permukaan itu dengan figura manusia, mereka telah mengembangkan suatu rekaan hiasan geometrik yang compleks, serta pola-pola rumit dari bentuk tumbuhan yang mana menghiasi istana, masjid serta tempat-tempat awam.

Ataupun pembangunan pola berulangkali boleh mewakili ketetapan undang-undang serta hukum Allah.  Umat Islam diminta untuk mengamati hukum serta ketetapan yang telah ditentukan oleh Nabi Muhammad s.a.w, yang dicirikan oleh Rukun Iman. Dengan itu, pembangunan pola geometri mampu menyediakan analogi visual untuk aturan agama perilaku.




Pola, Corak & Simbol
Kedua-dua pendekatan terhadap ibadat serta kemahiran kreatif dalam membuat pola memimpin mereka kepada cara mereka sendiri untuk memahami kesempurnaan alam semesta ketika ia menggerakkan unsur-unsurnya. Pola & corak Islam ialah suatu bentuk seni yang unik  juga bersatu dalam tujuan dan fungsinya. Simbol mampu menerangkan mengenai suatu perkara dalam berbagai cara dan tidak pernah kehabisan kata dalam menerangkannya.

Oleh kerana itu, bulatan, dan pusatnya, adalah titik permulaan di mana semua corak dan pola Islam dan suatu simbol penekanan terhadap satu Tuhan, yang juga melambangkan  fungsi  Kaabah  di Mekah, yang menjadi kiblat Islam. Bulatan seringkali dikaitkan dengan keabadian, yakni tanpa permulaan mahupun pengakhiran, sebuah bentuk kesempurnaan dan kesamarataan di dalam semua arah di dalam ruang lingkup yang juga merupakan bentuk induk yang paling indah dari semua bentuk, baik di dalam mahupun di bawahnya.
Melalui bulatan terdapat tiga lagi bentuk asas dalam pola Islam iaitu, segi tiga, segi empat sama, dan segi enam. Segi tiga merupakan secara tradisinya melambangkan kesedaran manusia dan prinsip keharmonian. Segi empat sama pula melambangkan pengalaman jasmani dan dunia fizikal atau kebendaan manakala segi enam pula melambangkan syurga. Simbol lazim yang lain pula ialah bintang dan sering kali dipilih untuk menjadi motif kebanyakan hiasan Islam. Bintang merupakan bentuk geometri yang melambangkan penyebaran samarata ke semua arah daripada titik pusat yang sama. Semua bintang sama ada 6, 8, 10,12, mahupun 16 bucu, adalah dicipta daripada pembahagian bulatan kepada bahagian yang sama rata. Pusat  bintang tersebut adalah pusat kepada bulatan yang mana ia berasal, dan bucunya menyentuh lingkaran bulatan tersebut. Sinar bintang tersebut pula menyebar ke semua arah lalu menjadikan bintang  sebagai lambang yang paling sesuai sebagai lambang penyebaran Islam.

Satu lagi kegunaan bentuk bintang ini ialah dalam sarang lelabah yang menyelamatkan Nabi Muhammad s.a.w  ketika peristiwa Hijrah. Mozek jaring labah-labah bermula daripada bentuk bintang lalu berkembang di dalam jalinan terkumpul, mengikut suatu pelan yang rumit, lalu membentuk suatu jaringan yang lebar dan kaya. Beberapa reka bentuk sedemikian mampu berhubung dengan satu sama lain lalu membina suatu bentuk, terutamanya ketika ia berasal daripada bentuk bintang dengan jumlah sinar yang berbilang, bagaikan sebuah planetarium yang berkilauan, di mana setiap baris bermula daripada titik pusat dan mengarah ke pusat. Sebuah motif yang mana membangkitkan ideaologi kesatuan Islam di mana-mana.

Walaupun corak geometrik itu membabitkan atau dihasilkan oleh bentuk mudah seperti bulatan dan segi empat sama, yang digabungkan, diduplikasi, dan dihubungkan lalu disusun di dalam kombinasi yang rumit, menghasilkan satu daripada aspek yang membezakan kesenian Islam. Namun begitu, pola kompleks ini mengandungi penolakan untuk mematuhi peraturan geometri dengan ketat. Oleh yang demikian, perhiasan geometri dalam kesenian Islam meletakkan sebuah kebebasan yang mengagumkan di dalam perulangan dan kompleksiti . Ia member sebuah kemungkinan yang tidak terbatas dan mampu memberi kemudahan terhadap sebuah kesatuan  di dalam jenis hiasan yang lain. Di dalam istilah abstrak, motif perulangan serta simetri, pola geometri mempunyai banyak persamaan dengan gaya arabes yang dilihat di dalam kebanyakan rekaan vegetal.  Hiasan kaligrafi juga muncul selari dengan pola geometri.

Kebanyakan pola serta corak yang digunakan di dalam kesenian Islam kelihatan sama walaupun ia menghiasi objek yang berlainan. Pola dan corak ini di dalam bentuk dua dimensi, di dalam bentuk mahupun tujuan serta dibina daripada beberapa bilangan elemen geometri kecil yang berulang lalu membentuk sebuah kekompleksan  yang menyeluruh.Tahap praktikal dan operasi ekspresi arketip ini tidak mengurangkan keberkesanannya sebagai simbol malah ia memperkayakan lagi apa yang dianggap sebagai mudah dan harfiahnya menjadi lebih dalam ke arah di mana kita lebih jelas terhadapnya.

Diterjemahkan Oleh: Rifky Kesuma bin Suherman
Sumber Asal : http://www.salaam.co.uk/themeofthemonth/march02_index.php?l=3

Tiada ulasan:

Catat Ulasan